Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tiga pengguna motosikal maut dalam dua nahas berasingan




KUANTAN - Dua penunggang dan seorang pembonceng maut dalam dua nahas berasingan yang dilaporkan berlaku di daerah Kuantan dan Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian di Kuantan, seorang penunggang dan pembonceng maut apabila motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk ke sebuah simpang berhampiran Masjid Bukit Setongkol di sini, malam kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 8.20 malam itu, penunggang, S Shanmuganathan, 32 dari Taman Cenderawasih di sini meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, R Nokeswaran, 21 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, kereta jenis proton yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuantan dipercayai membelok untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

Menurutnya, mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai gagal mengelak kereta terbabit lalu terlanggar menyebabkan penunggang dan pembonceng itu tercampak jatuh ke atas jalan.

“Akibat pelanggaran, kedua-dua pekerja sebuah syarikat swasta di sini mengalami cedera parah dan salah seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Najid berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kegagalan penunggang mengelak kereta di hadapan memasuki simpang.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang pemuda Orang Asli maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar papan tanda di Kilometer 152.2, Jalan Kuantan –Johor Baharu dekat Rompin, pagi kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa Fandi a/l Sol, 20 dari Kampung Denai, Endau, Rompin mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Kuantan itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang papan tanda di tepi laluan terbabit.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang cedera dihantar menerima rawatan ke Hospital Muadzam Shah,” katanya.

Mohd Najid berkata, ketika kejadian keadaan di lokasi gelap dan berkabus manakala jalan lurus serta kering.

“Kedua-dua kes kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment