Search This Blog

Tuesday, June 28, 2011

Terlepas hukuman gantung



KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar kolej menarik nafas lega setelah dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Keputusan terhadap tertuduh, Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 20, dari Taman Setia, Durian Burung itu dibuat selepas hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menerima permohonan pihak pendakwaan yang meminta agar Syamil dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 59.9 gram.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, tertuduh boleh dipanggil atau didakwa bila-bila masa sahaja jika pihak pendakwaan menerima bukti dia terlibat dengan kesalahan-kesalahan lain.

Sebelum ini, tertuduh yang masih menuntut dalam semester empat Diploma Kejuruteraan di sebuah kolej di Kemaman ketika ditangkap berhadapan dengan pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 59.9 gram di rumah bernombor 713, Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu pada 17 September 2010 jam 8.10 pagi.

Dia sebelum ini tidak mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39b (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh diwakili peguam bela Nordin Kassim.

Media sebelum ini menyiarkan pihak polis berjaya merampas 4,000 biji pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 hasil penahanan dua adik-beradik, seorang pelajar kolej, 19, dan abangnya, 23, seorang pengusaha kedai dobi.

Turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Setia, Durian Burung itu ialah seorang remaja wanita, berumur 19 tahun yang juga penuntut sebuah kolej.
SH

No comments:

Post a Comment