Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tentera tahan 47 pendatang di laluan tikus

BUKIT KAYU HITAM: Seramai 47 pendatang asing warga Myanmar dan seorang warga Thailand, ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini menerusi laluan tikus oleh anggota Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan dalam Ops Zon Utara.

Pegawai Memerintahnya, Left Kol Abdul Rashid Shahdan, berkata pendatang asing itu dipercayai memasuki negara ini melalui 'laluan tikus' menerusi pagar sempadan sebelum berkumpul di sebuah ladang ragut berhampiran Laka Temin, sementara menunggu 'tekong darat' mengambil.
Katanya, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, anggotanya mendapat maklumat 50 pendatang asing warga Myanmar akan memasuki negara ini melalui laluan tikus dan berkumpul di kawasan ragut berhampiran Laka Temin, kira-kira satu kilometer dari pagar sempadan Kedah/Thailand.
"Kita menempatkan 10 anggota di kawasan disyaki dan kira-kira jam 10.45 malam, anggota kami menahan seorang lelaki warga Thailand dipercayai tekong darat berusia 30-an yang disyaki mengatur kemasukan pendatang asing terbabit.

"Kira-kira jam 1 pagi, anggota kami membuat serang hendap di lokasi sama dan menahan 14 warga Myanmar termasuk empat wanita, manakala 33 lagi warga Myanmar termasuk seorang wanita ditahan kira-kira jam 10.30 pagi," katanya.

Semua pendatang berusia antara 15 hingga 37 tahun, kebanyakannya dipercayai mempunyai talian saudara atau rakan dengan kumpulan pertama yang ditahan.

Abdul Rashid berkata, dalam Ops Zon Utara yang bermula pada 7 Mei hingga 15 Julai ini, pasukannya sudah berjaya menahan 152 pendatang asing yang kebanyakannya warga Myanmar.
Beliau berkata, beberapa kawasan di sekitar Bukit Kayu Hitam dikenal pasti menjadi tumpuan pendatang tanpa izin untuk menyusup masuk ke negara ini.

"Kita sudah menerima maklumat dan akan membuat pemantauan di beberapa lokasi tertentu," katanya.
Berita Harian Online | Tentera tahan 47 pendatang di laluan tikus

No comments:

Post a Comment