Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Tekong maut, empat terselamat



PERAI - Seorang tekong lemas selepas tercampak daripada bot yang dinaiki bersama empat pemancing ketika dalam perjalanan ke Pulau Aman, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Kamsiran Geemin, 52, dari Jalan Terubok, Seberang Jaya dikatakan membawa empat pemancing dari Jeti Sungai Perai kira-kira jam 1.30 petang sebelum bot yang dinaiki dipukul ombak di pertengahan jalan.

Ketika hendak berpatah balik ke jeti, bot mereka dipukul ombak lalu mangsa bersama seorang pemancing itu tercampak ke dalam laut yang bergelora.

Pemancing yang tidak diketahui identitinya itu bagaimana pun berjaya ditarik ke atas oleh rakan-rakannya, manakala mangsa dihanyutkan ombak berikutan keadaan laut dan cuaca yang tidak mengizinkan.

Mereka yang terselamat kemudiannya kembali ke Jeti Sungai Perai untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Wan Azmi Ahmad berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan usaha mengesan mangsa yang lemas sejurus menerima panggilan pada jam 2.59 petang.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dekat jambatan kedua Pulau Pinang berhampiran Kuala Juru kira-kira jam 6.30 petang.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan bilik mayat HSJ apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dan rakan mangsa hadir selepas mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa.

Seorang rakan baik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bidin berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika berbual bersamanya pada malam sebelum kejadian, sebaliknya banyak bercakap mengenai persiapan anak kedua yang bakal melangsungkan pertunangan pada 9 Julai nanti.

Menurutnya, mangsa yang juga pemain bola sepak Pulau Pinang era 80-an disifatkan sebagai seorang yang peramah, selain tidak pernah menolak jika ada yang meminta pertolongan.

Justeru, kehilangan sahabat yang sudah lama dikenali itu merupakan sesuatu yang amat sukar untuk diterima.

“Semalam (kelmarin), arwah beberapa kali mengajak saya memancing bersamanya pada hari ini (semalam), tetapi saya menolak. Sebelum ini juga dia ada mengajak saya menaiki bot yang baru dibeli kira-kira setahun lalu itu, namun sekali pun saya tidak pernah lagi menerima pelawaannya itu,” katanya yang merupakan orang terakhir dalam kalangan rakan-rakan yang bertemu mangsa sebelum lemas.

Bidin berkata, mangsa memang seorang kaki pancing dan mereka sering memancing bersama pada masa lapang.
SH

No comments:

Post a Comment