Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tanah ibu digadai pihak tidak dikenali




ALOR SETAR - Buntu memikirkan siapa punya angkara yang menyebabkan tanah milik ibu mereka kini jatuh ke tangan orang lain.

Pengawal keselamatan, Saad Ahmad, 56, berkata, dia terkejut apabila menerima surat mengenai gadaian tanah milik ibunya, Rafeah Baharom di Chenang, Langkawi tiga tahun lalu sedangkan dia dan lapan adik beradiknya yang lain tidak pernah berbuat demikian.

Menurutnya, tanah seluas 10 relung milik ibunya itu digunakan oleh pihak tertentu untuk mendirikan chalet.

Menurutnya, setelah menerima surat berkenaan, dia segera membuat laporan polis pada pada tahun yang sama kerana tidak mahu ada pihak yang mencerobohi tanah berkenaan.

“Saya rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dibuat oleh pihak tidak dikenali itu yang membuat perkara berkenaan tanpa pengetahuan saya dan keluarga.

“Kami juga telah membuat laporan polis berhubung kes ini yang turut membabitkan beberapa kesalahan fakta yang dibuat oleh pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Saad mendakwa, sewaktu ibunya sakit sebelum meninggal dunia pada 3 Januari 2004, tiga individu telah datang ke rumah Rafeah bagi mendapatkan cop jari ke atas surat yang mereka sediakan.

Dia mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga telah membuat surat menyatakan ibunya pergi ke Tapah dan memaklumkan di dalam surat bahawa Rafeah meninggal dunia pada 30 Disember 2004 iaitu 11 bulan selepas tarikh sebenar.

Menurutnya, terdapat banyak fakta yang bercanggah termasuklah alamat yang diletakkan di dalam surat itu.

“Saya tidak mahu tanah pusaka ibu jatuh ke tangan orang lain selain daripada keluarga, tambahan orang yang tidak dikenali.

“Saya dan adik beradik lain mahukan hak ke atas tanah pusaka yang ditinggalkan oleh ibu ,” katanya.

Bagi adik kepada Saad, Rameli, 51, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila dia tidak dibenarkan untuk membayar hasil tanah pada tahun 2003 disebabkan tanah itu telah menjadi milik orang lain.

Rameli berkata, dia kemudiannya terus membuat laporan polis setelah menyedari kejadian itu berlaku.
SH

No comments:

Post a Comment