Search This Blog

Wednesday, June 15, 2011

Tak sempat masuk laluan tikus

JOHOR BAHRU 14 Jun – Hasrat 30 warga Indonesia termasuk dua wanita untuk pulang ke negara asal mereka melalui ‘laluan tikus’ di Pengerang, Kota Tinggi, tidak kesampaian apabila kesemuanya ditahan di sebuah rumah setinggan di Kampung Hajah Fatimah, Tampoi, dekat sini hari ini.
Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Nasri Ishak berkata, kesemua warga asing berusia 21 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Johor dalam Ops Serkap selama dua jam bermula pukul 10.50 pagi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan 15 anggota diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen negeri, Amzari Abdul Jalil membuat serbuan ke atas rumah setinggan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kesemua warga asing datang dari Pahang dan sampai di rumah itu semalam. Kesemua mereka dipercayai hendak pulang ke kampung halaman mereka menggunakan ‘laluan tikus’ di Sungai Rengit, Pengerang,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasri, siasatan awal mendapati setiap warga asing membayar RM800 hingga RM1,200 kepada seorang ejen untuk membawa mereka pulang ke negara asal.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 18 daripada warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, 10 orang tinggal lebih masa dan dua orang memiliki permit kerja palsu.
“Kita turut menahan pemilik rumah berkenaan iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) berusia 50-an bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Ujarnya, kesemua warga asing tersebut dibawa ke Pejabat Imigresen di Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment