Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Tabung Masjid Felda Tenggaroh 1 kena kebas dua kali



MERSING 13 Jun - Jemaah Masjid Jamek Felda Tenggaroh 1 dekat sini dikejutkan dengan dua siri kecurian wang tabung masjid tersebut, baru-baru ini.
Pengerusi masjid, Torijan Marjani, 60, berkata, kejadian pertama dipercayai berlaku pada malam Rabu lalu manakala yang kedua pada subuh hari Sabtu lalu.
Menurutnya, mereka menyedari sebuah tabung yang berada di dalam masjid itu telah dipecahkan mangganya dan duit di dalamnya dicuri pada malam Rabu lalu.
Beliau berkata, tabung yang sejak dahulu dilekatkan ke tiang di bahagian tengah dalam masjid itu tidak mampu ditarik atau dibawa keluar kerana ia dilekat kuat.
"Kejadian kedua pula menyusul Sabtu lalu apabila sebuah lagi tabung masjid yang agak besar dan tidak diikat ke tiang berjaya dicuri dan kejadian itu hanya disedari apabila para jemaah ingin menunaikan solat subuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, bilal masjid, Mohd. Yusof Roslan, 65, pula memberitahu, tabung yang dicuri itu telah ditemui di belakang rumah seorang penduduk kampung, berhampiran anak sungai.
"Seorang penduduk memaklumkan bahawa dia terjumpa tabung tersebut di belakang rumahnya tetapi duit di dalamnya didapati hilang," katanya.
Seorang penduduk, Harun Yaakob, 50, pula berkata, dia amat sedih kerana hak milik di dalam rumah Allah turut dicuri.
"Saya harap agar mereka yang terlibat menyesali perbuatannya itu," katanya.
Seorang jemaah, Zulhelmi Mashod, 45, pula mencadangkan supaya kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di masjid berkenaan.
"Jika ada kamera litar tertutup, saya rasa pencuri ni pun kena berfikir beberapa kali untuk meneruskan niatnya itu," katanya sambil berharap supaya masyarakat setempat bekerjasama menangani masalah seperti itu agar tidak berulang.
Ekoran kejadian itu, Torijan telah membuat laporan di balai polis Sungai Ambat, di sini pada Sabtu lalu.
Utusan Malaysia Online - Johor

No comments:

Post a Comment