Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Suami maut dalam parit




KULIM - Seorang buruh, M Letchumanan, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di parit berdekatan rumahnya oleh pekerja industri wanita warga Vietnam di Taman Senangin, kira-kira jam 7.15 pagi kelmarin.

Isteri mangsa, K Kannaki, 46, berkata, mangsa selalunya sampai ke rumah sekitar jam 6 petang tetapi pada hari kejadian mangsa tidak pulang. Kira-kira jam 10 malam, dia bersama anaknya cuba mencari mangsa di kawasan perumahan dan tempat mangsa sering berada tetapi tidak bertemu.

“Kira-kira jam 7.15 pagi terdengar bunyi suara wanita warga Vietnam menjerit ketika balik dari kerja kerana terjumpa mayat. Kami yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pergi melihat dan ternampak mangsa berada dalam keadaan tertiarap dengan mukanya berada di dalam air.

“Anak lelaki saya kemudiannya mengangkat mayat mangsa ke dalam rumah dan menyelimutkannya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis di Balai Polis Kulim. Mangsa sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dan banyak membantu keluarga,” katanya.

Jurucakap polis berkata, hasil pemeriksaan pada mayat mangsa, polis menemui kesan luka di kepalanya. Mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam parit ketika hendak turun tangga curam di tempat kejadian untuk balik ke rumah.

“Tiada sebarang tanda perlakuan jenayah terdapat mayat mangsa dan polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.

“Mangsa seorang OKU yang mengalami kecacatan di kaki kiri dan mempunyai tiga anak. Mayatnya telah dibedah siasat di Hospital Kulim dan doktor mengesahkan mangsa mati lemas,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment