Search This Blog

Tuesday, June 28, 2011

Setiausaha politik dipukul



TAPAH - Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim cedera di bahagian badan apabila dipukul individu tidak dikenali, 23 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Koo Kam Wen, 62, dipukul di bahagian belakang badan menggunakan kerusi palstik oleh seorang lelaki di sebuah restoran di Pekan Tapah, Jalan Stesen, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan secara tiba-tiba memukul mangsa menggunakan kerusi.

Ketika kejadian, menurutnya, mangsa dikatakan sedang menunggu rakannya di kedai berkenaan.

“Mangsa cuba untuk menghalang dengan tangan kiri, tetapi lelaki itu terus memukulnya beberapa kali.

“Malah lelaki itu dipercayai turut menumbuk muka mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Pergaduhan itu kemudiannya berjaya dileraikan rakan mangsa.

Roslan berkata, mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan dilaporkan mengalami lebam dan luka kecil pada kedua-dua belah tangan.

Polis, katanya, telah menahan lelaki berkenaan pada 26 Jun lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kami masih menyiasat motif sebenar individu berkenaan menyerang mangsa.

”Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Roslan memaklumkan, sebanyak 46 laporan polis berkaitan bantahan kepada perhimpunan Bersih diterima IPD Tapah.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini, tiada laporan dibuat berkaitan usaha menyebarkan risalah dan baju untuk perhimpunan berkenaan.

“Sekiranya ada, pihak kami akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment