Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Saya terpaksa jual RM3.5j: Saksi

Shamsudin khuatir perniagaan tergugat jika tak terima tawaran bekas MB Selangor

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu rumah banglo dan dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini, dijual pada harga RM3.5 juta pada 2007 kerana pemilik rumah berkenaan khuatir projek dan perniagaannya di negeri ini, tergugat jika tidak menerima tawaran itu.

Saksi Pendakwaan Kedua kes rasuah Dr Mohamad Khir Toyo, Shamsuddin Hayroni, 55, berkata walaupun tidak bersetuju dengan harga itu yang terlalu rendah berbanding harga ditawarkannya iaitu antara RM5 juta hingga RM5.5 juta, beliau dan isterinya bersetuju dengan harga ditetapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu kerana Dr Mohamad Khir ketika itu Menteri Besar Selangor.
Katanya, pada 23 Disember 2004, beliau membeli rumah dan tanah itu pada harga RM5 juta, manakala RM1.5 juta lagi adalah segala binaan yang ada di kawasan rumah di Lot 8, Jalan Suasa 7/1L itu dan harga RM5.5 juta yang ditawarkan itu adalah selepas memberi potongan kepada Dr Mohamad Khir.

“Dia (Dr Mohamad Khir) kata, dia hanya boleh beli pada harga RM3.5 juta dan itu kelayakan yang dia boleh beli.

“Saya ada buat penilaian hartanah terhadap rumah itu yang sedang diubah suai dan jurunilai memberi penilaian dalam RM5.5 juta,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki, di sini, semalam.

Dr Mohamad Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini pada harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, di sini.

Shamsuddin yang juga Pengarah Ditamas berkata, beliau menerima pembayaran deposit RM500,000 dalam bentuk cek bertarikh 28 Mei 2007 daripada Dr Mohamad Khir manakala pembayaran RM3 juta dibayar juga dengan menggunakan cek yang dibayar kepada peguam yang mewakili ahli perniagaan itu, Doris Getrude Mayappen.

Terdahulu, Shamsuddin berkata, sebelum rumah itu dijual kepada Ditamas, Dr Mohamad Khir ada menyatakan minatnya untuk membeli rumah itu dan meminta seorang rakannya, Datuk Sumadi Ismail, membeli rumah berkenaan.

Bagaimanapun, berikutan Sumadi ada komitmen lain dan tidak boleh menerima permintaan itu, Dr Mohamad Khir memintanya membeli rumah berkenaan.

“Ketika itu, dia minat rumah itu dan minta saya beli rumah itu. Saya rasa mungkin suatu hari dia nak beli rumah itu daripada saya,” katanya.

Ditanya Abdul Wahab apa yang menyebabkan beliau bersetuju, Shamsuddin berkata pada ketika itu beliau berurusan di Selangor dan sedang bercakap dengan Menteri Besar Selangor, membuatkannya bersetuju dengan permintaan membeli rumah berkenaan.

“Saya seorang ahli perniagaan. Saya ada banyak projek. Seorang Menteri Besar suruh beli, saya rasa tiada pilihan dan hanya teruskan dengan pembelian,” katanya.

Selain itu, Shamsuddin berkata pemilihan Saksi Pendakwaan Ketiga, Nasir Ismail sebagai kontraktor kerja ubah suai rumah dibuat Dr Mohamad Khir selepas pertemuan antaranya dengan Nasir, ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, Dr Mohamad Khir dan isterinya, Zahrah.

Katanya, ketika dilantik, Dr Mohamad Khir ada memberitahu Nasir untuk berurusan dengannya jika menghadapi masalah kerja ubah suai dan beliau ada beberapa kali berurusan serta membuat tiga kali pembayaran bernilai RM500,000 setiap transaksi bagi kerja ubah suai yang dijalankan.

Shamsuddin berkata, setiap kali membayar Nasir, beliau ada memberitahu Dr Mohamad Khir mengenainya dan apabila tidak menerima apa-apa pembayaran semula kepadanya, beliau menganggap suatu hari nanti mungkin Dr Mohamad Khir akan membeli rumah itu.

Mohtarudin kemudian menangguhkan perbicaraan ke hari ini.
Berita Harian Online | Saya terpaksa jual RM3.5j: Saksi

No comments:

Post a Comment