Search This Blog

Wednesday, June 15, 2011

Perusuh Vietnam dihantar balik

49 pekerja tidak akan didakwa selepas didapati tak serius terbabit rusuhan
SEREMBAN: Seramai 49 pekerja warga Vietnam yang terbabit dalam rusuhan membabitkan lebih 200 orang di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak, Bandar Baru Nilai di sini, minggu lalu, akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata keputusan itu diambil majikan pekerja terbabit selepas siasatan polis mendapati mereka tidak terbabit secara serius dalam rusuhan mencederakan 23 orang itu.
“Polis juga mendapati tiada keperluan untuk mendakwa mereka, tetapi majikan tetap mengambil keputusan menghantar mereka pulang dan proses ini sedang diuruskan ejen yang dilantik syarikat terbabit.

“Tempoh reman 10 pekerja asing lagi iaitu sembilan lelaki warga Bangladesh dan seorang Vietnam yang tamat hari ini (semalam) dilanjutkan hingga esok bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kejadian rusuhan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian bermula kira-kira jam 8.30 malam Selasa minggu lalu, 23 cedera dalam pergaduhan membabitkan lebih 200 pekerja Vietnam dan Bangladesh di asrama kilang itu, dalam kejadian dipercayai berpunca daripada seorang wanita yang cuba dipikat seorang pekerja Bangladesh.

Susulan kejadian itu, polis menahan 58 pekerja asing di asrama berkenaan dengan 45 lelaki Vietnam, empat wanita Vietnam dan sembilan lelaki Bangladesh kerana dipercayai terbabit dalam rusuhan itu dan merampas lebih 1,000 senjata termasuk parang, pisau, batang besi dan kayu yang disembunyikan di kawasan berkenaan.
Selain itu, 10 lagi rakyat Vietnam dan empat warga Bangladesh termasuk dua kanak-kanak turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Datuk Suhaimi Mohd Salleh, berkata kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan sekitar Kawasan Perindustrian Nilai dianggap sebagai isu keselamatan negara.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan polis yang memantau situasi di kawasan berkenaan dan menasihatkan kedua-dua agensi itu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.
Berita Harian Online | Perusuh Vietnam dihantar balik

No comments:

Post a Comment