Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Perhilitan rampas 60 haiwan di Zoo Saleng


KULAIJAYA 20 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hari ini merampas lebih 60 ekor haiwan pelbagai spesies yang dilindungi di Zoo Saleng di sini, selepas permit khas pemilikan zoo tersebut tidak diperbaharui.

Pengarah Perhilitan Johor, Saharudin Anan berkata, zoo persendirian yang beroperasi sejak 17 tahun lalu itu tidak mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut selepas dipercayai melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Beliau berkata, haiwan yang dirampas adalah 32 ekor harimau belang, 10 ekor singa termasuk empat anak, beruang (lima), iguana (dua), harimau kumbang (seekor), burung tiong emas (seekor), kucing batu (dua), landak raya (tiga), beruk (empat), buaya (11), ular sawa (11), ular tedung (tiga) dan kera (empat).

"Perhilitan turut menerima aduan daripada orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa zoo berkenaan mengeksploitasi haiwan-haiwan peliharaannya.

"Kita telah memberi peluang kepada pemilik zoo untuk membuat rayuan sejak tiga bulan lalu, namun kita masih tidak boleh melanjutkan permit khas selepas mereka didapati gagal membuat sebarang penambahbaikan mengikut akta yang ditetapkan," katanya di sini, hari ini.

Lebih 64 anggota jabatan itu terlibat dalam kerja pemindahan haiwan dilindungi itu bermula pukul 9 pagi dan dijangka berakhir 27 Jun ini.

Tambah Saharudin, pihaknya hanya merampas haiwan yang dilindungi dan bukannya menutup zoo berkenaan kerana mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat demikian.

Katanya lagi, zoo tersebut sebelum ini mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan sama dan kesemua haiwan yang dirampas akan ditempatkan di Pusat Penyelamat Haiwan di Zoo Melaka.

Sementara itu, pemilik zoo, Chai Sip Yee berkata, pihaknya akan cuba berbincang dengan agensi terlibat bagi mendapatkan permit khas tersebut.

"Kami akan berusaha sedaya upaya bagi membolehkan zoo ini dibuka semula," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

1 comment:

  1. Syabas anggota penguat kuasa Perhilitan kerana telah menyelamatkan makhluk Allah yang bernama binatang dari dieksplotasi oleh manusia yang tak berhati perut semata2 untuk keuntungan saja.Saya secara peribadi agar pihak perhilitan tidak lagi memberi permit atau melayan apa saja desakan untuk mereka berbincang bagi permit baru.Mengikut fakta berita pemilik telah mengabaikan segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan dan telah diberi tempuh untuk penambahbaikan namun masih tidak dihiraukan,apabila tindakan sudah diambil barulah sedar.Ibarat kata orang "Dah terantuk,baru tengadah".Lagi pun bagi pandangan saya cukup kecewa dengan manusia yang berperangai seperti ini,fikirkan untung saja tapi kebajikan haiwan tersebut tak dihiraukan.Makan,minum,tempat tinggal,keselesaan dan kesihatan haiwan itu terbiar begitu saja.Ada baiknya haiwan2 tersebut dihantar ke zoo yang dibiayaai oleh kerajaan negeri seperti zoo Melaka,saya nampak terbela disana kerana saya adalah pengunjung setia zoo Melaka.

    Akhir kata saya mendoakan agar anggota2 bertugas selamat dari malapetaka semasa memindahkan haiwan2 buas.Wslm

    ReplyDelete