Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Penyamun berjaya ditangkap



ALOR GAJAH - Kecekapan dan ketangkasan dua anggota polis peronda dan seorang anggota polis bahagian trafik bersama tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki mencuri wayar tembaga dan besi dari bangu-nan lama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berumur 27 tahun itu dikatakan cuba melarikan kira-kira 30 kilogram tembaga serta pendawaian elektrik dalam bangunan yang sudah tidak digunakan sejak setahun lalu itu ketika aktiviti berjaya dihidu.

Saksi kejadian, yang juga anggota JPAM, Mohd Razzif Isa, 21, berkata, operasi mengepung bangunan itu dijalankan beliau bersama dua rakan JPAM dengan bantuan tiga anggota polis setelah orang awam memaklumkan melihat kelibat suspek dalam bangunan itu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mereka dapati pintu bangunan berkunci dari dalam dan pada masa sama mereka menemui sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di dalam sebuah bangunan bersebelahan.

“Kami kemudian bertindak memecahkan pintu terbabit dan mendapati terdapat potongan wayar dipercayai untuk dibawa lari.

“Tidak lama kemudian seorang lelaki terjun dari sebuah tingkap belakang bangunan itu dan menuju ke arah kami dan bertanyakan tujuan kami berada di situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Razzif berkata, lelaki terbabit menyatakan dia berada di situ kerana motosikalnya kehabisan minyak

“Kami terus bertindak menangkapnya, walaupun dia menafikan memecah masuk bangunan itu,” katanya.

Turut ditemui satu alat pemotong besi dipercayai digunakan untuk memotong wayar serta besi-besi dari dalam bangunan itu.

Semua besi dengan anggaran seberat 30 kilogram itu ditemui dalam satu kotak besar di dalam bangunan berkenaan, manakala alat pemotong besi itu disorokkan di dalam tempat mengepam air di tandas bangunan itu.

Suspek juga turut melepaskan diri apabila mendakwa sedang menunggu seorang rakan warga Mynmmar di situ untuk mencari tempat melepak dan mabuk.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, suspek yang turut mempunyai rekod jenayah, ditahan anggota polis dan JPAM berkenaan.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek ditahan reman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment