Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Pengurus rugi RM500,000 kena samun

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus pasar raya kerugian setengah juta ringgit apabila wang hasil kutipan selama seminggu perniagaannya disamun sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan pistol dan kapak di Jalan 10/125D, Desa Petaling, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa bersama dua pembantunya menaiki kereta dalam perjalanan menuju ke bank bagi menyimpan wang.
Ketika tiba di kawasan tepi jalan, kereta dinaiki mangsa tiba-tiba dipintas sebelum dihalang sebuah kereta.
Pada masa sama suspek keluar sambil mengacukan pistol ke arah kereta mangsa manakala dua lagi suspek yang bersenjatakan kapak memecahkan cermin kereta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata penjenayah kemudian bertindak merampas beg berisi wang tunai daripada pengurus pasar raya berkenaan sebelum melarikan diri.

“Hasil keterangan mangsa kita dapati kesemua penjenayah memakai penutup muka bagi mengelak wajah mereka dikenali, namun sehingga kini kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek melalui rakaman CCTV di lokasi berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai orang dalam yang membantu mereka memperoleh maklumat mengenai aktiviti penyimpanan wang oleh pengurus berkenaan.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca cermin kereta yang dipecahkan, namun mereka enggan ditemui selepas trauma dengan kejadian yang menimpa.

Sehubungan itu, polis merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.
Berita Harian Online | Pengurus rugi RM500,000 kena samun

No comments:

Post a Comment