Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Peneroka diminta tarik balik saman


KUALA LUMPUR 20 Jun - Semua 711 peneroka dari 16 tanah rancangan di Jengka, Pahang yang memfailkan writ saman mereka terhadap Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. diminta menarik balik tindakan itu.

Ketua Peneroka Felda Nasional, Samsudin Othman berkata, tindakan saman itu adalah perbuatan yang merugikan peneroka sendiri dan ia tidak akan menyelesaikan masalah mahupun memberi sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak.

"Tindakan segelintir peneroka yang mengambil tindakan menyaman dilihat seperti 'menabur pasir ke dalam periuk nasi sendiri' di samping tidak bersyukur atas segala nikmat yang mereka terima selama ini.

"Felda telah banyak memberi bantuan kepada peneroka antaranya melalui skim pembesaran rumah (SPR) bagi mengubah suai rumah selain insentif duit raya setiap kali menjelang Aidilfitri dan banyak lagi," katanya.

Beliau mengulas tindakan seramai 711 peneroka dari 16 tanah rancangan di Jengka, Pahang, memfailkan writ saman terhadap Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. kerana didakwa menipu dan pecah amanah kadar perahan grid (KPG) hasil sawit mereka bernilai RM344 juta.

Semua mereka melalui peguam R. Sivarasa memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh pagi semalam berasaskan tuduhan penipuan dan pecah amanah dua defendan terbabit selama 15 tahun sejak 1995.

Samsudin turut mempersoalkan niat sebenar kumpulan berkenaan yang begitu bersungguh-sungguh 'menyerang' Felda sejak akhir-akhir ini iaitu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan tahun ini.

Jelasnya, masyarakat Felda perlu berwaspada dengan pihak luar yang menjanjikan pelbagai perkara sedangkan pada hakikatnya ia hanya janji kosong.

"Pihak luar tidak akan memberi fokus terhadap kebajikan warga Felda seperti yang dilakukan oleh Felda sekarang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment