Search This Blog

Wednesday, June 15, 2011

Penarik kereta parah diserang dua lelaki

KOTA BHARU 14 Jun - Seorang penarik kereta nyaris putus lengan kirinya selepas diserang dua lelaki menggunakan senjata tajam di Chica, Kubang Kerian di sini semalam.
Mangsa, Muhamad Zailani Md. Ali, 38, mendakwa, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika dia yang sedang memandu kereta BMW milik rakannya ditahan oleh dua buah kenderaan.
"Secara tiba-tiba di kawasan sebuah stesen minyak di Chica, dua buah kereta mengepung kereta yang saya pandu dan dua lelaki keluar lalu mengarahkan saya keluar. Apabila saya enggan mereka bertindak memecahkan cermin kereta.
"Dalam keadaan kecoh itu saya keluar dari kereta dan mereka terus menyerang dengan melibas menggunakan senjata tajam sehingga mengenai lengan kiri menyebabkan saya tidak sedarkan diri," ujarnya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.
Menurut lelaki terbabit, dia kemudian dibantu oleh orang ramai yang menghubungi ambulans dan dibawa ke HUSM.
Bapa kepada lima anak berusia setahun setengah hingga 14 tahun itu mendakwa, tidak mengetahui motif dia diserang oleh kedua-dua suspek yang dikenalinya.
Sementara itu, isterinya, Rosmani Mat Hussein, 38, memberitahu, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa suaminya kira-kira pukul 8 malam selepas dimaklumkan oleh seorang rakan.
"Sebelum kejadian, saya sempat bertemu suami yang baru balik kerja kira-kira pukul 5 petang. Dia keluar semula dengan memberitahu mahu menjual kereta milik kawannya," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi hari ini memberitahu belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian dan enggan mengulas lanjut.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment