Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Pembunuh tauke beras diburu




SUNGAI PUYU - Tidak sampai 24 menjalankan siasatan berkaitan kematian tauke beras, Ooi Ching Tian, 58, yang mati ditembak di hadapan rumahnya di sini awal pagi kelmarin, pihak polis yakin mereka sudah berjaya mengenal pasti puncanya dan ia melibatkan dua suspek.

Bagaimanapun dalam usaha melengkapkan siasatan pihak polis tidak akan mengumumkannya dalam masa terdekat di samping ingin menjaga keselamatan ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Zulkifli Alias semasa ditemui pada satu majlis di Pinang Tunggal, dekat sini pagi semalam berkata, hasil kerja keras anggotanya, pihaknya yakin kes itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Kita tidak dapat memaklumkan perkembangan siasatan pada masa sekarang sehingga dua suspek yang terlibat berjaya ditahan.

“Kita mempunyai strategi tersendiri untuk menangani setiap kes yang dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Awal pagi kelmarin, seorang tauke beras terkenal di daerah ini mati semasa diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya akibat ditembak di kepala oleh seorang lelaki.

Kejadian berlaku pada jam 12.50 pagi ketika mangsa turun dari kereta untuk membuka pintu pagar rumahnya selepas pulang makan malam.

Isteri dan anaknya yang terdengar bunyi tembakan bergegas keluar namun, terperanjat mendapati mangsa terbaring dalam keadaan cedera parah sebelum menghantarnya ke HSJ untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun selepas tiga jam dirawat mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Dalam perkembangan lain berkaitan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun membabitkan ibu kandung dan teman lelakinya di Taman Mesra, Bagan Lalang, Mak Mandin, 6 Jun lalu.

Beliau memaklumkan kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

“Pada dasarnya pihak kita sudah menyempurnakan standard yang ditetapkan dalam siasatan dan kini hanya menunggu keputusan TPR sama ada hendak mendakwa atau sebaliknya suspek terlibat dalam kes itu.

“Biar kita memperoleh keputusan dari TPR dahulu dan sekarang mangsa dera itu berada bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) SPU,” katanya.

Kes dera membabitkan pasangan kekasih itu didedahkan kepada polis oleh seorang jiran yang tinggal di taman sama selepas tidak tahan melihat kanak-kanak lelaki itu sering menjadi mangsa pukul ibu kandung dan kekasihnya sejak beberapa bulan lalu.
SH

No comments:

Post a Comment