Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Peguam minta rasuah kena 4 tahun penjara

Mahkamah turut hukum denda RM235,000

KUALA LUMPUR: Seorang peguam dihukum penjara empat tahun dan denda RM235,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada anak guamnya, seorang doktor kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugut, enam tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Ranjit Singh, 57, yang juga bekas pegawai kanan polis yang sudah berkhidmat selama 27 tahun sebelum bersara pada 2001 dan menjadi peguam.
Bagi tuduhan pertama meminta rasuah RM40,000 daripada Dr Chong Kuck Meng, 46, Rozilah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000 terhadap Ranjit, manakala bagi tuduhan kedua menerima rasuah RM7,000, tertuduh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM35,000.

Rozilah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermula semalam, dan tertuduh dipenjara setahun dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Rozilah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam tertuduh, Mohd Afifuddin Hafifi untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan anak guamnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga mengenakan syarat tambahan supaya Ranjit melapor diri di Balai Polis Bangsar sekali dalam sebulan dan wang jaminan RM5,000 dikekalkan.
Dalam penghakimannya, Rozilah berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh bahawa wang RM40,000 itu sebahagian yuran guaman hanya penafian, manakala keterangan mengenai pelantikan adik tertuduh sebagai peguam kedua mewakili Kuck Meng meragukan.

“Mahkamah setuju dengan hujahan pendakwaan bahawa penjelasan tertuduh tidak logik serta gagal menimbulkan keraguaan munasabah dalam kes berkenaan.

“Jika wang yang diminta itu yuran guaman bagi perkhidmatan peguam kedua yang dilantik, sudah pasti resit dikeluarkan, bagaimanapun tiada resit,” katanya.
Berita Harian Online | Peguam minta rasuah kena 4 tahun penjara

No comments:

Post a Comment