Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Peguam dijel 4 tahun

KUALA LUMPUR 13 Jun – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM235,000 ke atas seorang peguam yang didapati bersalah meminta dan menerima suapan daripada seorang doktor kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugut melibatkan anak guamnya itu, enam tahun lepas.
Sekiranya tertuduh, Ranjit Singh, 57, gagal membayar denda berkenaan, hukuman penjara tersebut boleh ditambah selama 14 bulan lagi.
Bagaimanapun, Hakim Rozilah Salleh selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut digantung sementara menunggu rayuan dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Bangsar setiap bulan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam bela, Afifuddin Hafifi.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menyatakan pembelaan tertuduh yang juga merupakan bekas pegawai kanan polis bahawa wang yang diminta dan diterima adalah yuran guaman bagi dirinya dan seorang lagi peguam pembantu iaitu adiknya sendiri adalah satu rekaan.
“Tertuduh cuba memberikan justifikasi (kewajaran) ke atas perbuatannya namun apa yang dikatakan tidak selari dengan bukti yang dikemukakan. Sekiranya benar, wang yang diminta adalah untuk yuran guaman adalah tidak mustahil tertuduh untuk menjelaskannya kepada anak guamnya,’’ ujar hakim terbabit.
Mengikut pertuduhan, Ranjit didakwa telah meminta suapan wang tunai RM40,000 daripada Dr. Chong Kuck Meng, 46, bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap seorang pelajar, Lee Khai Yin, 26, di Lobi Hotel Le Meridien, Jalan Stesen Sentral pada pukul 11.45 malam, 22 April 2005.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM7,000 daripada Kuck Meng kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap Khai Yin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Twin Happiness, Pekan Slim River, Batang Padang, Perak pada pukul 8.30 malam, 28 Jun 2005.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, Rozilah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000, gagal bayar penjara 12 bulan.
Bagi pertuduhan kedua, Ranjit dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM35,000. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara dua bulan.
Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment