Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Panik anak tertiarap kaku

MELAKA: “Saya panik melihat keadaan anak tidak menangis dan tertiarap di atas pangkuan, malah langsung tidak bergerak dan saya menyangka dia hanya pengsan,” kata operator kilang, Faridah Sabtu, 29, yang kematian bayinya, Siti Nor Faris Izati, lima bulan dalam kemalangan jalan raya di Kampung Panchor, dekat sini, petang Sabtu lalu.

Faridah ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) berkata, sejak awal bulan ini, bayinya itu berperangai pelik apabila kerap menangis bukan disebabkan lapar atau kesakitan, namun seolah-olah mahukan perhatian lebih daripada dia dan suaminya serta ingin sentiasa didukung.


“Saya tak sangka sama sekali perubahan itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya yang turut terlantar di ICU hospital berkenaan.

Faridah berkata, dia bersama suaminya, Albaniza Alwi, 34, serta dua anak mereka sebelum itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Perdana menuju ke Hospital Alor Gajah menghantar anak bongsunya itu yang demam sejak empat hari sebelum itu.


Menceritakan kejadian itu, katanya, dia menyaksikan sendiri bagaimana Proton Iswara Aeroback dipandu seorang lelaki berusia 30-an merempuh kereta mereka ketika memotong sebuah kereta di hadapan.


“Saya lihat sendiri bagaimana kereta itu datang dari arah Alor Gajah secara tiba-tiba dan cuba memotong sebuah kereta, tetapi gagal dan terus merempuh kereta kami,” katanya.

Akibat perlanggaran kuat itu, Faridah yang tersepit terdengar suara anak sulungnya di tempat duduk belakang mengerang kesakitan sambil menangis sementara suami yang tersepit menjerit mencari anak-anak lain.


Faridah berkata, tidak lama kemudian anggota bomba tiba dan mengeluarkan dia dan suami yang tersepit dan dihantar ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

myMetro | Panik anak tertiarap kaku

No comments:

Post a Comment