Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Padah akibat betulkan tali bot



PULAU TENGGOL – Tindakan seorang nelayan warga Thailand terjun ke laut untuk membetulkan tali bot yang dipercayai tersangkut pada kipas bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri hilang dihanyutkan arus deras.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin itu dipercayai berlaku ketika mangsa bersama beberapa lagi awak-awak bot nelayan pukat tunda milik seorang tauke yang difahamkan dari Kuantan itu sedang melakukan kerja menangkap ikan di lokasi kira-kira 16 batu nautika dari Timur Merchang atau 16 batu nautika dari tenggara Pulau Kapas.

Sebaik menyedari tali bahagian belakang bot pukat tunda terbabit tersangkut pada kipasnya, tauke bot itu dikatakan bertindak menghubungi rakannya untuk meminta bantuan, namun masalah sistem komunikasi menyebabkan ia gagal dilakukan.

Pada masa sama, mangsa dipercayai terjun ke bahagian belakang bot terbabit untuk membaiki kipas itu yang dikatakan tersangkut pada tali sebelum didapati hilang dibawa arus deras.

Seorang daripada rakan mangsa yang juga awak-awak bot itu cuba menyelamatkan mangsa, namun turut dihanyutkan arus deras sebelum sempat berpaut pada pelampung yang dilemparkan oleh rakannya dari bot terbabit.

Rakannya itu bagaimanapun berjaya diselamatkan setelah dihanyutkan arus hampir tiga kilometer dari lokasi botnya berlabuh.

Beberapa jam kemudian, sebuah bot pukat tunda lain tiba untuk memberi bantuan lalu pemilik bot itu menghala ke daratan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Mangsa, warga Thailand dikenal sebagai Ak Sok sehingga pagi semalam dipercayai masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian terbabit dan kes ini disiasat polis Marang berikutan lokasinya difahamkan berdekatan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
SH

No comments:

Post a Comment