Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Nenek rentung bersama anak dan cucu dalam kebakaran

KUCHING: Seorang nenek ditemui rentung dalam keadaan mencangkung sambil memeluk cucunya dalam bilik tidur utama selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Heng Guan, Jalan Matang, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Cik Chin Yok Hui, 42 tahun, sedang tidur dalam bilik bersama Wong Kok Liong, cucu lelaki berusia dua bulan,

Beliau terjaga selepas terasa bahang panas disusuli bau asap sekitar 4.45 pagi.

Selain mereka, turut rentung dalam kejadian itu adalah seorang lagi anak perempuan Cik Chin, Cik Liau Jee Khim, 18 tahun, selepas ketiga-tiga mangsa malang itu gagal membuka jeriji besi bagi menyelamatkan diri berikutan api marak dengan cepat.

Cik Liau ditemui rentung dalam tandas bilik utama banglo itu, dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api dinyalakan di tempat sembahyang yang diletakkan di ruang tamu rumah tersebut.

Jiran mangsa, Cik Radiah Aznie, 40-an tahun, berkata beliau terdengar bunyi bising dari luar rumah dan menyangka berlaku pergaduhan, namun terkejut apabila diberitahu anak perempuannya ternampak kepulan asap dan api keluar daripada kediaman mangsa.

'Saya terus bergegas keluar kerana mengetahui ada penghuni dalam rumah tersebut dan ketika itu saya nampak api sudah marak di bahagian hadapan rumah berkenaan, diikuti letupan kuat beberapa kali.

'Pada masa yang sama, saya mendengar jeritan seorang wanita meminta tolong. Saya bersama jiran lain menyuruh mereka keluar melalui pintu belakang, namun beberapa minit kemudian, suara jeritan itu terus tenggelam,' katanya.

Api marak dan merebak dengan cepat ke bahagian lain rumah itu.

Pagar kediaman yang berkunci menyukarkan Cik Radiah serta jiran membantu mangsa.

'Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdoa semoga penghuni rumah itu dapat menyelamatkan diri. Pada masa yang sama, saya sebelum itu menghubungi bomba bagi meminta bantuan,' katanya.

Menurut Cik Radiah, disebabkan mangsa kurang bergaul dengan jiran lain, orang ramai berada dalam kebingungan kerana tidak mengetahui bilangan penghuni dalam rumah itu.

'Apa yang saya tahu, isteri tuan rumah terbabit baru melahirkan seorang bayi dua bulan lalu, selain sering melihat kehadiran beberapa kanak-kanak lain,' katanya. -- Metro Ahad.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment