Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Misteri rumah Mona Fandey



ULU DONG – Masyarakat daerah ini berpendapat bahawa kediaman sementara Mona Fandey di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang tinggi nilainya seperti beberapa lokasi sejarah melibatkan Pol Pot di Kemboja.

Seorang penduduk, Mokhlis Zainal, 47, berkata, lokasi sekitar tapak rumah Mona yang masih kukuh binaannya wajar dibersihkan dan dibaik pulih serta dibina laluan selesa dari jalan utama.

Menurutnya, sejarah tercipta di daerah itu dengan peristiwa berdarah boleh dijadikan pengetahuan kepada pengunjung terutama generasi muda.

“Kita tidak seharusnya memikirkan perkara ini dari sudut negatif tetapi wajar mendedahkannya kepada umum seperti dilakukan kerajaan Kemboja yang menjadikan lokasi pertumpahan darah rakyat negara itu sebagai sumber pelancongan.

“Perkara seumpama ini secara tidak langsung dapat memberi variasi kepada pelancongan daerah dan memberi didikan kepada masyarakat bahawa peristiwa yang berlaku tidak seharusnya menjadi momokan yang menakutkan,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong tempatan, Nur Syahriman Shaharuddin berkata, cadangan seumpama itu berasas memandangkan ia bukan perkara baru yang diketengahkan pelancongan antarabangsa.

Katanya, beberapa lokasi bersejarah di negara lain juga dibangunkan dengan mengekalkan konsep asal supaya pengunjung dapat menghayati keadaan sama seperti kejadian sebenar.

“Tidak perlu pergi jauh, Balai Polis Bukit Kepong juga menjadi sejarah besar negara yang kini dijadikan muzium peringatan dan dapat menarik minat pengunjung untuk mendalami sejarah pertempuran yang berlaku di situ.

“Rumah tinggalan Mona ini juga boleh dibangunkan dan dibersihkan sekitarnya serta dijaga rapi untuk dikunjungi masyarakat yang berminat,” katanya.

Beliau berharap ada pihak yang boleh tampil memajukan cadangan ini dalam usaha membangunkan industri pelancongan tempatan tanpa melibatkan pengaruh negatif yang merosakkan persepsi umum terhadap peristiwa tersebut.
SH

No comments:

Post a Comment