Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Maut ditetak empat lelaki




KUALA LUMPUR – Seorang pekerja buruh binaan maut ditetak sekumpulan lelaki dalam pergaduhan berhampiran tanah perkuburan Kristian di Jalan Kuari, Cheras di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, seorang rakannya cedera parah manakala seorang lagi hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, semua warga Indonesia, menaiki bas dari Taman Len Seng menuju ke pusat bandar untuk pulang ke rumah di Kampung Baru.

Menurutnya, ketika di dalam bas, berlaku perselisihan faham di antara mangsa de-ngan empat lelaki.

Beliau berkata, ketika bas berhenti di jejantas berhampiran Bazaria Larut Malam, Velodrome, mangsa dipaksa turun oleh kumpulan terbabit.

“Mangsa dan rakannya terus melarikan diri, menyeberangi jalan raya menuju perkuburan Kristian di sini.

“Suspek kemudiannya menyerang dengan senjata tajam dipercayai parang sehingga menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian dan seorang rakannya cedera parah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, semakan mendapati mangsa berasal dari Surabaya, namun polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

Chin Wah berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata digunakan suspek.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita sedang mengesan rakan mangsa yang hilang itu untuk membantu polis memberkas suspek,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan rakannya yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Chin Wah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
SH

No comments:

Post a Comment