Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Maut dihempap dinding batu



BAHAU – Seorang pekerja kontrak maut dihempap dinding batu simen ketika melakukan kerja memecah-kan stor lama di Jalan Padang Golf, Taman Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Khairi Sukajat, 37, dipercayai terjatuh dari bangunan dua tingkat akibat kayu pemijaknya patah dan dinding simen berkenaan turut rebah menghempap mangsa.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang sibuk memecah dinding berkenaan sebelum kayu pemijaknya patah.

“Mangsa jatuh ke bawah dengan ketinggian 3.6 meter dan yang cedera parah di kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

“Kita juga tidak menemui sebarang kecederaan lain pada mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan, semalam.

Mangsa bertaraf pemastautin tetap itu meninggalkan seorang balu serta lima anak.

Sementara itu, suasana pilu seketika di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol sewaktu urusan bedah siasat.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan ditemu bual akibat terlalu sedih dengan kejadian berlaku.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Kampung Sungai Dua, Kuala Pilah untuk dikebumikan.
SH

No comments:

Post a Comment