Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Lima bot tunda negara asing ditahan berlabuh tanpa kebenaran




Salah sebuah bot tunda yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Pontian, kelmarin.


JOHOR BAHRU 13 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima bot tunda negara asing kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Piai, Pontian, di sini kelmarin.Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, kesemua kapal itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pihaknya pada pukul 3.30 petang.
Menurutnya, bot berkenaan iaitu Harita Berlian 9 dan Harita Berlian 10 telah didaftarkan di Funafuti, Kepulauan Tuvalu manakala Harita Berlian 7 dan Harita Berlian 8 didaftarkan di Panama selain Artha Sarana 28, di Dumai, Indonesia.
Kelima-lima ketua jurutera bot tunda yang merupakan rakyat Indonesia ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan untuk siasatan manakala 42 anak kapal dari negara sama berusia 20 hingga 51 tahun ditahan di atas bot.
"Siasatan awal pihak kami juga mendapati kelima-lima bot itu juga tidak memaklumkan ketibaan kapal mereka di perairan Malaysia dan gagal membayar dius api," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, kelima-lima bot tunda itu dipercayai daripada syarikat yang sama dan sedang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar pasir.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (l) dan Seksyen 449 Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953.
"Pihak kami akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas kapal-kapal yang berlabuh di perairan negeri ini sekali gus memastikan mereka mematuhi undang-undang ketika di perairan negara," katanya.
Utusan Malaysia Online - Johor

No comments:

Post a Comment