Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Lepas ribut terbakar pula

KUALA TERENGGANU 20 Jun - Belum pun hilang trauma tiga keluarga dalam kejadian ribut kelmarin, lima buah rumah kedai di Kampung Kubang Lembik, Manir di sini yang turut dihuni keluarga itu musnah dalam kebakaran hari ini.
Kejadian berlaku pukul 3 pagi, ketika semua mangsa yang nyenyak tidur terhidu bau asap serta terdengar bunyi bising dari arah belakang rumah kedai itu.
Rumah kedai itu menempatkan kilang proses air bikarbonat, kedai alat tukar ganti motor dan alat-alat mekanikal.
Menurut mangsa, Mohamad Abdullah, 52, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama isteri dan empat anaknya berusia dua hingga tujuh tahun di tingkat atas rumah kedai itu.
Katanya, dia yang terkejut apabila melihat percikan api terus mengejutkan mereka sebelum membawa keluar.
"Akibat kejadian ini, saya kerugian kira-kira RM200,000 kerana semua alat digunakan untuk memproses minuman bikarbonat serta peralatan lain yang telah saya usahakan sejak 20 tahun lalu tidak dapat diselamatkan," katanya di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Hamdan Hussein, 37, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas namun bersyukur kerana dapat menyelamatkan isteri dan tiga orang anaknya.
Jelas bapa kepada tiga orang anak itu, ketika kejadian dia sedang menidurkan anaknya yang baru berusia 34 hari.
"Ketika itu, saya baru hendak melelapkan mata namun terhidu bau asap dan terdengar bunyi bising sebelum melihat api di bahagian belakang rumah.
"Isteri saya yang terkejut terus membawa anak bongsu kami dan anak-anak lain ke rumah ayah bersebelahan rumah kami. Kami masuk semula untuk dapatkan beberapa dokumen dan sedikit pakaian," jelasnya.
Sementara itu, jurucakap bilik gerakan dan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.50 pagi.
"Seramai 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 6.09 pagi," katanya.
Jelasnya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
Utusan Malaysia Online - Timur

No comments:

Post a Comment