Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Khir arah beli hartanah RM6.5j’


SHAH ALAM 13 Jun – Ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau terpaksa menjual dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM5.5 juta kepada Dr. Mohamad Khir Toyo hanya dengan harga RM3.5 juta pada tahun 2007.
Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd. yang juga saksi pendakwaan kedua itu berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selepas bekas Menteri Besar Selangor itu ingin membelinya di bawah harga pasaran kerana khuatir projek serta perniagaannya di negeri tersebut akan terjejas.
‘‘Perbincangan telah berlaku antara saya dan Mohamad Khir berhubung penjualan dan pindah milik. Saya tidak setuju dengan harga RM3.5 juta sebab ia terlalu rendah. Selepas ubah suai rumah dengan kos RM1.5 juta, ia boleh dijual dengan harga antara RM5 dan RM5.5 juta.
‘‘Setelah berbincang dengan orang rumah (isterinya), memandangkan saya ada projek dan aktif dalam perniagaan di Selangor, apabila Menteri Besar mahu rumah saya dengan harga RM3.5 juta, saya khuatir dengan kedudukan perniagaan saya di Selangor jika tidak bersetuju,’’ katanya.
Beliau yang menyambung keterangan selepas ia terhenti Rabu lalu, disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed semasa sesi pemeriksaan utama hari ini.
Menurut Shamsuddin, 52, sebelum itu beliau datang beberapa kali untuk melihat rumah dan lot tanah milik Saiful Aznir Shahabudin serta menyedari Mohamad Khir juga berminat untuk membeli hartanah tersebut.
Katanya, Mohamad Khir menyuruhnya membeli hartanah yang kemudiannya diperoleh pada harga RM6.5 juta selepas ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail tidak dapat berbuat demikian atas alasan mempunyai banyak komitmen lain.
‘‘Mohamad Khir menyuruh saya pula yang membeli rumah tersebut. Waktu itu, pemahaman saya adalah beliau berminat dengan rumah itu dan mungkin satu hari, beliau mahu membelinya daripada saya.
‘‘Saya setuju untuk membelinya kerana saya seorang ahli perniagaan dan mempunyai projek di Selangor manakala beliau pula seorang menteri besar. Apabila seorang menteri besar meminta saya membeli rumah, pada saya, saya tiada pilihan. Patut diteruskan,’’ jelas beliau.
Tambah Shamsuddin, perjanjian jual beli antara beliau dan Mohamad Khir serta isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik ditandatangani pada 29 Mei 2007 dengan deposit RM500,000 manakala bakinya dibayar kepada Ditamas pada 6 Ogos 2007.
Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.
Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shamsuddin yang sebelum ini didakwa bersubahat dengan Mohamad Khir bagaimanapun dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan menggugurkan tuduhan terhadapnya pada 6 Jun lalu.
Pada prosiding hari ini, peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir memohon agar mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan salinan rakaman percakapan Shamsudin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihak pembelaan.
Katanya, dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya membuat permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kemudian menangguhkan prosiding bagi membolehkan permohonan tersebut didengar esok.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment