Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Kereta ahli majlis disimbah asid




KULAIJAYA – Seorang ahli majlis di sini, terkejut selepas mendapati terdapat kesan simbahan asid pada kereta yang dipandunya sebaik sahaja tiba di rumah selepas menghadiri satu majlis makan malam, di sini, kelmarin.

Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Thai Jiin Peir berkata, kejadian itu turut disedari anaknya sebaik sahaja beliau memasukkan kereta ke perkarangan rumah kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

“Pada jam 7 petang semalam (kelmarin) saya letakkan kenderaan di bawah pokok berhampiran sebuah restoran di Taman Putri untuk hadiri satu majlis makan malam.

“Kira-kira jam 10 malam saya pulang ke rumah tetapi tidak perasan terdapat kesan simbahan asid pada kereta saya sehinggalah saya tiba di rumah.

“Saya percaya simbahan berkenaan adalah asid kerana keadaan cat pada bonet hadapan kereta yang tertanggal dan cecair berkenaan turut mengeluarkan bau,” katanya.

Jiin Peir berkata, beliau segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbang ia mempunyai kaitan dengan ugutan melalui khidmat pesanan ringkas yang diterimanya pada 24 Mac lalu.

“Saya syak perkara ini ada kaitan dengan ugutan yang saya terima sebelum ini dan mungkin terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya mempersoalkan masalah berhubung kedudukan lampu isyarat di Pekan Kulai.

“Sehubungan itu saya sudah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ugutan dan simbahan asid berkenaan tidak menggugat semangatnya meneruskan khidmat sebagai ahli majlis dan menyuarakan hak penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan- Bencana.
SH

No comments:

Post a Comment