Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Keluarga amah saman kerajaan



JAKARTA 20 Jun – Keluarga kepada pembantu rumah yang menjalani hukuman pancung di Arab Saudi, Ruyati Sapubi mahu menyaman kerajaan Indonesia kerana gagal memberi bantuan guaman sewajarnya kepada wanita itu.
Mereka juga meminta kerajaan membantu membawa pulang jenazahnya.
“Kami benar-benar kecewa dengan kerajaan kerana tidak mengambil berat tentang pekerja Indonesia yang mengalami masalah undang-undang di luar negara,” kata anak perempuan Ruyati, Evi Purwati semalam, dipetik oleh tempointeraktif.com.
Ruyati yang berasal dari Bekasi, Jawa Barat menjalani hukuman tersebut di wilayah Mekah, kelmarin kerana membunuh isteri majikannya dengan menetak kepala dan leher mangsa berkali-kali dengan pisau pemotong daging dalam kejadian pada Januari 2010.
Menurut laporan rasmi konsulat Indonesia di Jeddah, Ruyati membunuh wanita Saudi itu kerana dia sering ditengking dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air.
Kata Evi, dia hanya menerima maklumat ibunya akan dibicarakan pada Mei atau Jun atas dakwaan membunuh isteri majikannya, Khairiya Hamid Mijlid.
“Bagaimanapun saya terkejut apabila mendapat berita daripada pertubuhan Migrant Care bahawa ibu saya telah menjalani hukuman mati, malah kerajaan sendiri tidak mengetahui apa-apa mengenai hukuman itu,” katanya.
Anak lelaki Ruyati, Irfan memberitahu Metro TV, keluarganya mahu Ruyati dikebumikan dekat rumah mereka di Bekasi tetapi sehingga kini mereka masih tidak mengetahui di mana jenazahnya ditempatkan selepas menjalani hukuman.
“Kami hanya mahu ibu kami dikebumikan di Indonesia tetapi kami belum menerima maklumat daripada Kedutaan Saudi di sini atau Kedutaan Indonesia di sana,” kata Irfan.
Sementara itu Kementerian Luar Indonesia memanggil balik Dutanya ke Arab Saudi berikutan pelaksanaan hukuman mati ke atas Ruyati.
“Duta Indonesia dipanggil balik untuk berunding dengan pihak Kementerian,” kata Menteri Luar, Marty Natalegawa sebelum mesyuarat dengan Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) hari ini.
Beliau menolak dakwaan kerajaan gagal melindungi rakyat Indonesia di Arab Saudi, sebaiknya berkata, kerajaan telah memberikan bantuan guaman yang sewajarnya kepada Ruyati.
Marty juga berkata, sistem kehakiman Saudi membolehkan negara itu melaksanakan hukuman mati ke atas warga asing tanpa memberitahu kerajaan negara asalnya terlebih dahulu. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment