Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Jaga, rakan rugi RM800

GOMBAK: Seorang pengawal keselamatan sekolah dan rakannya berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa samun empat lelaki bersenjatakan parang ketika sedang bertugas di sebuah sekolah di Rawang Jaya, di sini kelmarin menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM800.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun berada di pondok pengawal bersama rakannya apabila tiba-tiba empat lelaki bertopeng menyerbu ke arah mereka.


Menurut sumber, mangsa dan rakannya yang cuba melarikan diri bagaimanapun gagal apabila dikepung keempat-empat lelaki terbabit yang bersenjatakan parang.

“Suspek mengarahkan mangsa tidak membuat bising jika tidak mahu dicederakan dan menyuruh mereka duduk di atas tanah.


“Kedua-dua mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri mereka hanya menuruti arahan diberi suspek sambil merayu supaya tidak diapa-apakan,” katanya.


Sumber berkata, salah seorang suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa serta mengugut akan mencederakan mereka jika melawan.

“Selepas mengikat kedua-dua mangsa, suspek mengambil barang berharga milik mereka sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Mujur ketika kejadian, mangsa tidak diapa-apakan malah ditinggalkan dalam keadaan kaki dan tangan masih berikat,” katanya.

Bagaimanapun, selepas semua lelaki terbabit melarikan diri, mangsa cuba melepaskan ikatan dan berjaya meleraikannya beberapa minit selepas itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Jaga, rakan rugi RM800

No comments:

Post a Comment