Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

Isteri hilang lebih 50 jam ditemui




Azizan Che Napiah (kanan) membuka plaster luka sambil diperhatikan isterinya, Munaliza Tajuddin di Hospital Kuala Nerang, semalam.


KUALA NERANG 31 Mei - Seorang suri rumah yang dilaporkan hilang di kawasan hutan sebuah bukit di Kampung Bukit Tembaga di sini sejak pagi Ahad lalu, ditemui dalam keadaan lemah di sebuah kebun getah kira-kira 10 kilometer dari rumahnya hari ini.
Munaliza Tajuddin, 30, ditemui duduk di kebun getah di Kuala Pai di sini oleh seorang penoreh getah kira-kira pukul 9.30 pagi tanpa sebarang kecederaan selepas hilang lebih 50 jam.
Ibu kepada empat orang anak itu dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas melahirkan anak keempat yang kini berusia sembilan bulan lalu dibawa tinggal bersama ibu mertuanya di Kampung Bukit Tembaga di sini sejak empat hari lalu.
Suaminya, Azizan Che Napiah, 33, memberitahu, dia menyedari kehilangan isterinya pada pukul 6.30 pagi Ahad lalu setelah dimaklumkan oleh seorang anak perempuannya.
"Saya keluar mencarinya di sekitar kampung tetapi gagal dan gerakan mencari diteruskan ke kawasan bukit kira-kira 20 meter dari rumah dengan kerjasama polis, anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Kami tahu dia sesat di dalam hutan di kawasan bukit berdekatan kerana isteri pernah beritahu adik ipar bahawa dia nak ke atas bukit kerana nampak sebuah rumah besar di sana," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang, di sini hari ini.
Katanya, usaha mencari dipergiatkan di kawasan bukit itu selepas menemui senaskhah al-Quran yang dibawa isterinya lalu ditinggalkan di bawah sebatang pokok berangan pada petang Ahad.
"Saya bersyukur kerana isteri ditemui dalam keadaan selamat dan selepas ini saya akan bawa dia berubat secara tradisional bagi mengubati penyakitnya ini," ujarnya.
Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan isterinya dan kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan yang dihadapi isterinya sejak melahirkan anak keempat.
"Saya berpindah ke sini dari Kuala Kedah sejak empat hari lalu semata-mata untuk mengubati penyakit isteri saya ini di kampung ini," tambahnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment