Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Hajat tidak kesampaian




KUANTAN - Hasrat sekumpulan rakan dari Taman Polo di sini untuk melancong ke Guangzhou, China lebur apabila ditipu oleh individu yang dikenali sebagai K Mohan dari sebuah syarikat beralamat di Puchong, Selangor.

Kumpulan yang sepatutnya berlepas ke Guangzhou hari ini (Isnin) akhirnya hanya mampu berputih mata apabila percutian lima hari empat malam yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan malah turut mengalami kerugian sebanyak RM21,750.

Ketua kumpulan, Foo Yoke Ling berkata, mereka mula berhubung dengan orang tengah yang dikenali sebagai K Mohan melalui telefon pada September tahun lalu selepas ditawarkan percutian ke destinasi menarik iaitu Guangzhou, China.

Menurutnya, selepas melihat risalah yang dibawa oleh seorang kenalan, mereka mula mengumpul rakan-rakan agar turut serta dalam percutian yang menawarkan pakej terbaik dengan kos RM1,450 seorang.

“Kami cukup gembira dengan tawaran pakej yang menarik itu dan selepas mengumpul 15 rakan, kami membuat pembayaran pendahuluan secara tunai kepada wakilnya sebanyak RM7,500 iaitu RM500 seorang pada Januari lalu untuk perjalanan yang dijadualkan pada Mac.

“Bagaimana pun, perjalanan kami ditunda sebanyak dua kali iaitu pada April dan Jun (20 Jun). Malah usaha kami untuk menghubungi K Mohan gagal selepas kami menjelaskan baki bayaran melalui cek sebanyak RM14,250,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA Indera Mahkota, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming.

Yoke Ling berkata, mereka beberapa kali cuba menghubungi K Mohan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej yang ditawarkan namun menemui jalan buntu selepas nombor yang tertera pada risalah sudah ditamatkan perkhidmatan.

Sementara itu, Tsu Ming berkata, dia berharap individu yang dikenali sebagai K Mohan supaya tampil untuk memberi penjelasan terhadap perkara tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, jika tiada sebarang perkembangan, dia akan bersama kumpulan tersebut akan membuat laporan polis berhubung perkara itu selain menulis surat kepada Kementerian Pelancongan untuk memastikan syarikat tersebut mempunyai lesen atau tidak.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelancongan yang ditawarkan.

“Sekiranya mahu pergi melancong, orang ramai perlu memastikan syarikat yang menawarkan pakej tersebut wujud dan bukan hanya percaya kepada orang tengah semata-mata kerana banyak kes sebegini berlaku sekarang,” katanya.

Tsu Ming berkata, individu yang dikenali sebagai K Mohan boleh menghubungi Yoke Ling di talian 012- 987 9218 atau Tong Siew Chooi di talian 017 – 9789780.
SH

No comments:

Post a Comment