Search This Blog

Tuesday, June 28, 2011

Empat pengedar dadah kena cekup



KUANTAN - Cubaan empat individu dipercayai pengedar dadah mengaut keuntungan berjaya dipatahkan polis apabila kesemua mereka dicekup dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini, kelmarin.

Berikutan penahan semua suspek itu, polis merampas 678.3 gram dadah termasuk heroin dan syabu dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Wira, sebuah motosikal, telefon bimbit dan beberapa peralatan menghisap dadah daripada suspek terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, tangkapan pertama dibuat 21 Jun lalu apabila pihaknya mendapat maklumat berhubung kegiatan itu di Kampung Bukit Koman, Raub.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan seorang berusia 30 tahun kira-kira jam 3 petang di hadapan sebuah rumah dipercayai miliknya.

“Hasil pemeriksaan ke atas buruh itu, polis berjaya menemui dan merampas 119.3 gram heroin yang disorok dicelah topi keledar atas sebuah motosikal di hadapan rumah itu,” katanya, semalam.

Toon Khuan berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah opiad.

“Manakala semakan rekod mendapati lelaki itu seorang penagih tegar berulang dan turut memiliki 3 rekod jenayah lampau” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang pemandu kereta selepas didapati cuba berhenti di tepi jalan dan berpura-pura tidur bagi mengelak sekatan jalan raya di Kampung Sekolah, Kuala Krau, kelmarin.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 2 petang itu, polis mendapati lelaki terbabit bukan sahaja cuba mengelak diperiksa polis kerana berada di bawah pengaruh dadah tetapi bimbang kegiatan sebenarnya dihidu pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira yang dipandu lelaki itu, polis menjumpai 500 gram heroin dan 10 gram syabu diisi dalam beberapa peket plastik.

“Susulan penahan lelaki itu, polis turut dirampas kereta yang digunakan, dua telefon bimbit dan wang tunai RM2,200 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Toon Khuan berkata, lelaki itu didapati pernah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sebanyak dua kali.

Sementara itu, polis menahan dua lelaki dalam sebuah rumah di Desa Mawar 1, Muadzam Shah dekat Rompin dan merampas sembilan peket plastik kecil serta satu keratan straw berisi dadah heroin seberat 49 gram

“Lelaki berusia 29 dan 50 tahun itu dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan yang menjadikan penagih kawasan terbabit sebagai sasaran," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.
SH

No comments:

Post a Comment