Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Empat beradik tarik nafas lega




KUANTAN - Bagi empat adik-beradik yang menjadi mangsa ribut di Kampung Chengal, bantuan yang diberikan memang meringankan sedikit bebanan mereka sementara rumah yang rosak siap dibaiki.

Mangsa terlibat, Shamsudin Awang, 57 bersama adik-adiknya, Zaiton, 54, Zulkifli, 45 dan Zaimi, 35, sedikit lega kerana mendapat perhatian Pengerusi Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Ramlah Kasim.

Ketika ditemui, Zaiton berkata, dia kini terpaksa menumpang di rumah ibunya sementara menunggu kerosakan rumahnya siap dan selamat diduduki.

Menurutnya, dengan bantuan yang diterima setakat ini, tiada apa yang dapat diluahkan hanya kesyukuran dan penghargaan terhadap semua pihak yang membantu.

“Bantuan ini dapat digunakan untuk keperluan keluarga dan anak-anak kerana kami pun bukan orang senang.

“Cuma sekarang ini, saya dan keluarga perlu bersabar sementara menunggu rumah siap diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan di balai raya kampung itu di sini, semalam.

Sementara itu bagi Zulkifli dan Zaimi yang bekerja sebagai pemotong rumput, mereka berdua turut berkongsi nada sama seperti kakaknya.

“Paling utama, anak dan isteri saya selamat ketika kejadian dan syukur tiada yang cedera walaupun memang hingga sekarang masih terkejut,” kata Zukifli.

Sementara itu, Zaimi berkata, sehingga kini dia masih teringat kejadian itu memandangkan rumah mereka berdekatan antara satu sama lain.

“Paling utama kini, dapat duduki semula rumah dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 16 Jun lalu kira-kira jam 7.45 malam itu, sebanyak lapan rumah dipukul ribut menyebabkan enam daripadanya rosak teruk apabila bumbung rumah diterbangkan angin.
SH

No comments:

Post a Comment