Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Dua nelayan asing dituduh edar dadah



ALOR SETAR-Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 17 Julai 2011 sebagai tarikh keputusan akhir pendakwaan bagi dua nelayan warga asing yang dituduh melakukan kesalahan mengedar dadah jenis kanabis tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu bagi memberi peluang kepada peguam yang mewakili tertuduh mengemukakan saksi pemilik bot sebelum membuat keputusan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama, Effendi pemegang kad pengenalan diri Indonesia dan tertuduh kedua, Sakri Yadam memegang kad pengenalan diri Thailand dituduh melakukan kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 222,028 gram.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 Januari 2008 sekitar jam 12.30 pagi, di 4.4 Nautika Batu dari Pantai Kuala Kedah pada kedudukan 06 darjah 06.06 Utara, 100 darjah 12.45 Timur dalam daerah Kota Setar.

Kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Zakiah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan mendapati terdapat kes prima facie yang mengukuhkan kedua-dua tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah kerana hanya mereka yang ditemui dalam bot dan berada berdekatan dengan dadah.

Katanya, mereka ditahan oleh empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sewaktu menjalankan operasi setelah radar mengesan kedudukan bot yang dinaiki tertuduh walaupun mereka tidak memasang lampu.

Selain itu, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh melakukan perancangan teliti dengan membalut ketulan dadah mampat jenis kanabis dalam lapan bungkusan plastik hitam, kemudian dimasukkan dalam petak ikan, ditutup kain rentang serta pukat.

“Tertuduh juga cuba melarikan diri ketika bot mereka ditahan anggota penguatkuasaan dan menunjukkan mereka tahu tentang kandungan yang berada dalam plastik hitam serta petak ikan tidak berkunci.

“Bagaimanapun mahkamah bersetuju memberi peluang kepada peguam membawa beberapa saksi lain termasuk pemilik bot sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Sepanjang kes itu, pihak pendakwaan telah memanggil 11 saksi.
SH

No comments:

Post a Comment