Search This Blog

Monday, June 27, 2011

Dua maut dalam dua nahas



MELAKA - Dua remaja maut dalam dua kemalangan berasingan di Limbongan dan Kota Laksamana, dekat sini, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah,

Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 3 pagi di persimpangan lampu isyarat Eye On Malaysia, di sini.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang tiang lampu tengah jalan.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Zahiruddin Anuar, 22, seorang anggota Rela yang duduk di bahagian penumpang hadapan, maut ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Melaka (HM).

Menurutnya, kereta tersebut datang dari arah Limbongan ke Melaka Raya manakala dua buah motosikal datang dari arah pantai Klebang ke Tengkera di persimpangan berkenaan.

“Akibat pelanggaran dengan motosikal itu, kereta Gen 2 tersebut hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di tengah jalan menyebabkan tempat penumpang hadapan remuk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Gunasegaran berkata, dalam satu lagi nahas berlaku kira-kira satu kilometer dari kemalangan pertama, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta ketika memasuki simpang ke sebuah restoran di lampu isyarat Limbongan Indah, kira-kira 3.45 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta tersebut yang datang dari arah Melaka Raya ke Klebang merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Klebang dan ingin memasuki simpang ke sebuah restoran,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit, Muhammad Shahiq Ehsam, 17, berasal dari Paya Ikan di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
SH

No comments:

Post a Comment