Search This Blog

Sunday, June 19, 2011

Dua beradik maut nahas


BATANG KALI: “Sukar untuk saya menerima hakikat ini,” kata Muhd Yusuf Ismail @ Sanadi, 21, selepas mengetahui dua adiknya, Nurfarahanim, 18, dan Mohd Danial, 5, maut dalam kemalangan di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 pagi, van dipandu bapanya, Ismail @ Sanadi Othman, 45, bertembung dengan lori muatan barang tiga tan dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan dari Bandar Sungai Buaya, Rawang ke Kampung Sungai Behrang, Perak.

Selain bapa, ibunya, Noraida Abd Rahman, 39, yang sarat hamil anak ke-11 bersama dua adik lain, Norzarie Sopiah, 7, serta Mohd Haikal, 20 bulan, yang turut berada dalam van itu cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Mereka sekeluarga berkumpul di rumah Muhd Yusuf di Bandar Sungai Buaya malam itu sebelum bergegas pulang ke kampung sebelum jam 12 tengah malam.

“Empat puluh lima minit sebelum itu, kami sekeluarga bertemu dalam suasana mesra di rumah saya. Ia (kemalangan) berlaku dengan pantas,” katanya.


Muhd Yusuf bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh abang angkatnya, Shahrul Mat Daut, 28, mengenai kemalangan itu.

Sebelum kemalangan, Muhd Yusuf berkata, Nurfarahanim menunjukkan perangai pelik, seolah-olah petanda akhir hayatnya bersama mereka.


“Dia meminjam telefon bimbit saya untuk berbual dengan rakannya lebih 30 minit sehingga habis tambah nilai telefon saya, namun saya tidak ambil kisah mengenainya.

“Dia baru membeli peralatan sekolah di pekan Rawang sebagai persediaan menyambung pelajaran ke tingkatan enam. Kami berbual mesra sebelum mereka pulang (ke kampung),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati van mangsa yang datang dari arah Rawang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori terbabit.

Katanya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa di tempat duduk belakang tercampak keluar.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HKKB untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dikejarkan ke HSB,” katanya.

Norel berkata, pemandu lori dikenali sebagai Jamali Mokhtar, 45 tidak cedera.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Behrang, jam 1.40 petang semalam.
myMetroDua beradik maut nahas

No comments:

Post a Comment