Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Dicekup bersama pasangan sejenis




SUNGAI PETANI – Seorang kakitangan awam ditahan bersama pasangan sejenis yang berpakaian dan perwatakan seperti wanita dalam serbuan yang dijalankan dalam sebuah rumah kosong di Jalan Pegawai, Sungai Petani.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, sepasukan penguat kuasa membuat serbuan itu atas maklumat persatuan penduduk sebelum melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan didapati seorang lelaki berusia 28 tahun dalam keadaan separuh bogel yang juga merupakan seorang kakitangan awam berasal dari Sarawak berada dalam keadaan mencurigakan bersama pasangan sejenis.

“Ketika diserbu, lelaki berkenaan hanya mengenakan baju tanpa berseluar bersama pasangannya dalam rumah kosong berkenaan.

“Pasangannya pula yang hanya memakai pakaian tanpa lengan dan berseluar ketat berasal dari Bedong, Kedah dikenali sebagai nama Zulaika,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika pemantauan dilakukan pasangan berkenaan didapati menggunakan sebuah kenderaan dan meletakkan kenderaan itu di hadapan rumah kosong sebelum masuk ke dalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 (EKJS88) iaitu lelaki berpakaian dan mempunyai perwatakan seperti wanita yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 jika sabit kesalahan.

“Manakala pasangannya pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 23 EKJS1988 di mana menggalakkan atau membenarkan maksiat yang boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau penjara empat bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada persatuan penduduk yang bekerjasama dengan memberi maklumat dan membantu pihak jabatan membanteras gejala maksiat.

“Pihak Jabatan Agama akan terus memantau mana-mana ‘kawasan panas’ di Sungai Petani dan harap masyarakat turut beri kerjasama bagi membanteras gejala maksiat,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

No comments:

Post a Comment