Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Cedera ditetak enam lelaki

PUCHONG: Seorang lelaki yang sedang berehat di rumah bersama isterinya terkejut apabila sekumpulan enam lelaki menyerbu masuk rumah mereka sebelum menyerang menggunakan parang, kayu dan topi keledar hingga menyebabkan lengan kirinya luka akibat ditetak.

Dalam kejadian di Jalan Wawasan 5/3 Pusat Bandar Puchong jam 1 pagi semalam, mangsa S Shanmugan, 20-an sedang berborak dengan isterinya sebelum diserbu kumpulan terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati apabila dia bertindak campur tangan dalam pergaduhan beberapa jam sebelum itu.


Menurut sumber, kumpulan samseng berkenaan menyerbu rumah mangsa dan sebaik saja masuk ke dalam rumah, seorang daripada suspek menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa yang cuba mempertahankan diri luka di lengan kirinya ketika cuba menepis tetakan parang daripada salah seorang suspek.


“Selain itu, beberapa suspek lain turut memecahkan cermin dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri selepas melihat mangsa berlumuran darah,” katanya, semalam.


Sumber berkata, isterinya bergegas menghantar mangsa ke Hospital Serdang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Katanya, kumpulan terbabit dipercayai tidak berpuas hati atas tindakan mangsa campur tangan dalam satu pergaduhan di bawah pangsapuri kediamannya.

myMetro | Cedera ditetak enam lelaki

No comments:

Post a Comment