Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Bilik bacaan asrama hangus terbakar

PADANG TERAP 13 Jun - Sebuah bilik bacaan di Asrama Putera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad di sini, hangus dalam satu kebakaran awal pagi ini.
Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri, Mohamad Abd. Hamid berkata, kebakaran kira-kira pukul 2 pagi itu disedari pelajar-pelajar yang tinggal berhampiran bilik bacaan itu.
"Bilik bacaan di tingkat dua asrama dan seramai 106 pelajar lelaki yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 menginap di asrama ini.
"Semua pelajar ditempatkan buat sementara waktu di surau dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran di SMK Datuk Syed Ahmad di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia terhidu bau asap dan terus memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan lain.
"Ramai yang tengah tidur ketika kejadian dan kami kelam-kabut keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri. Mujurlah pihak bomba bertindak pantas dan api dapat dikawal sebelum merebak ke bilik kami," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Abdul Manaf Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.26 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota dari balai tersebut dikejarkan ke tempat kejadian.
"Api dapat dikawal kira-kira 20 minit dan punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian kira-kira RM5,600," jelasnya.
Utusan Malaysia Online - Utara

No comments:

Post a Comment