Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

Bayi dibungkus plastik ditemui



KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di Platinum Walk di Jalan Langkawi Danau Kota, Setapak di sini semalam.

Bayi perempuan itu yang masih bernyawa ditemui masih bertali pusat, dipakai baju T warna merah dan dibungkus dengan kertas surat khabar serta plastik.

Bayi malang terbabit ditinggalkan di sebelah pusat hiburan di situ dan ditemui oleh orang awam yang sedang mencari tempat letak kenderaan.

Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, Nair Sagar, 19, yang sedang bertugas di kawasan berhampiran.

Nair berkata, dia kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu dalam keadaan tidak selesa kerana terkena sinaran matahari.

“Saya buka plastik dan surat khabar yang membalutinya dan saya terus mengambil payung bagi melindunginya daripada terkena sinaran matahari.

“Selepas itu saya memanggil majikan untuk melihat bayi berkenaan sebelum menghubungi polis dan ambulans,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
SH

No comments:

Post a Comment