Search This Blog

Tuesday, June 21, 2011

Batang besi pagar kubur Hindu jadi mangsa curi




LADANG SENGKANG – Kegiatan mencuri besi tidak mengira tempat termasuklah batang besi pagar yang mengelilingi Tanah Kubur Hindu Ladang Sengkang turut dikebas.

Pengerusi MIC Cawangan Pengkalan Kempas, K Karuppusamy berkata, sekurang-kurangnya 60 batang besi pagar hilang dan mengakibatkan pagar di kawasan kubur itu rosak teruk.

Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira tiga minggu lalu kerana ada urusan kematian di sini dan perkara sebegini sangat mengecewakan.

“Penjenayah ini sepatutnya mempunyai perasaan takut apabila mencuri di kawasan kubur, namun perkara itu tidak terjadi.

“Cuma besi di tempat pembakaran mayat sahaja yang tidak dicuri walaupun mereka boleh berbuat demikian, mungkin mereka agak takut untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Karuppusamy berkata, kerugian akibat daripada kecurian ini mencecah RM4,000 termasuk untuk membaik pulih semula pagar berkenaan.

“Pagar ini sudah dibina hampir 20 tahun dan keadaannya masih berada dalam keadaan yang baik dan kukuh. Namun apabila besinya dicuri, keseluruhan pagar jatuh dan tumbang,” katanya.

Katanya, kes itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung untuk tindakan lanjut.

“Pagar ini di bina hasil daripada wang derma masyarakat India, di sini dan kegiatan mencuri yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab sangat memalukan dan tidak berhati perut,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment