Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

96 PATI Indonesia ditahan ingin seludup keluar

JOHOR BAHRU 13 Jun - Kegiatan sindiket menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi melalui jalan laut di negeri ini terus berlaku dan seolah-olah tidak gentar dengan operasi dijalankan pihak berkuasa.
Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 96 PATI di kawasan jirat Cina Kampung Bukit Gelugor, Sungai Rengit di Pengerang, dipercayai dijadikan tempat persembunyian mereka dalam dua operasi berasingan semalam dan kelmarin.
Utusan Malaysia difahamkan, semua PATI yang ditahan berusia 17 hingga 55 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke negara mereka melalui laluan tikus di sini menuju ke Pulau Batam, Indonesia.
Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, serbuan pertama kelmarin yang dilakukan pihaknya pukul 10.40 malam di kawasan jirat itu berjaya menahan 38 lelaki dan enam wanita rakyat Indonesia.
"Mereka ditahan selepas pihak kami menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan dipercayai tekong darat dan mendapati seramai 44 orang yang tiada dokumen sah berada di bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Lori berkenaan datang dari arah Sungai Tiram ke Sungai Rengit disyaki untuk menghantar PATI yang ingin pulang awal bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, pihaknya mengadakan satu lagi serbuan di lokasi yang sama semalam pada pukul 2 petang dan menahan 52 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan sedang bersembunyi di kawasan semak-samun di situ.
Menurutnya, kesemua PATI itu telah diserahkan kepada Balai Polis Sungai Rengit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
"PGM Wilayah Dua akan terus melakukan pemantauan dengan mengerahkan seluruh jentera risikan dan Unit Gempur Marin bagi membanteras kegiatan seumpama itu," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment