Search This Blog

Monday, June 27, 2011

30 minit derita dalam semak

ALOR GAJAH: Seorang gadis menahan kesakitan hampir setengah jam selepas terperosok di dalam semak dan patah tangan serta kaki kanan selepas motosikal terbabas akibat terkejut kerana seekor burung melintas di Taman Seri Naning, Simpang Ampat di sini, sebelum ditemui seorang lelaki yang mendengar rintihannya.

Difahamkan, gadis terbabit, Hadijah Mat Din, 22, dari Rumah Awam Seri Pengkalan ditemui terbaring dalam semak oleh anggota keselamatan, Hamzar Abdullah, 30-an yang kebetulan melalui jalan itu, jam 12 tengah hari, kelmarin, Menurut Hadijah ketika kejadian dia menunggang motosikal Yamaha LC135 untuk ke tempat kerjanya di A’Famosa Resort sebelum terperanjat apabila tiba-tiba seekor burung puchong terbang di hadapannya hingga menyebabkannya hilang kawalan.


“Ketika menuruni bukit di satu selekoh seekor burung terbang betul-betul di hadapan saya sehingga saya terkejut dan terjunam ke dalam semak di sebelah kiri jalan.

“Mujur saya tidak langgar tiang elektrik dan ketika itu saya perasan ada kereta dari arah bertentangan melalui jalan ini dan meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan saya yang patah tangan dan kaki kanan,” katanya.


Hadijah bernasib baik kerana tidak diserang haiwan liar ketika terbaring di tepi parit kecil sebelum dia dibawa ke hospital.


Hamzar berkata, dia menuju ke rumahnya di taman berdekatan dari tempat kerja untuk makan tengah hari apabila terdengar suara aneh dari arah kawasan semak berhampiran lampu isyarat.

Menurut Hamzar, dia cuba mengamati arah suara berkenaan sebelum terpandang motosikal mangsa “Saya cari arah suara perempuan tadi di sekeliling tapi tak berani nak masuk ke dalam semak kerana bimbang berlaku perkara lain..., kita tak tahu mungkin orang nak perangkap saya dan sebagainya.

“Disebabkan berasa tidak sedap hati saya beranikan diri dan menemui seorang gadis terbaring di tepi parit kecil di dalam semak sambil menangis menahan kesakitan dan minta saya membantunya,” katanya.

Katanya, tidak lama kemudian beberapa pengguna jalan raya lain turut berhenti di tepi jalan untuk membantu sebelum seorang anggota polis menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika dihubungi berkata selepas menerima maklumat kira-kira jam 12.05 tengah hari sepasukan empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

myMetro | 30 minit derita dalam semak

No comments:

Post a Comment