Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

3 pelajar Nigeria ditahan edar syabu di sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR 13 Jun - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah syabu di sekitar Lembah Klang yang didalangi warga Nigeria dengan tertangkapnya tiga lelaki rakyat negara itu di Taman Sri Segambut, di sini Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia 22 hingga 24 tahun dikesan menggunakan pas pelajar dan mengikuti jurusan perniagaan di dua kolej swasta di ibu negara sejak dua tahun lalu.
Serbuan dan tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan sindiket tersebut yang aktif beroperasi di sekitar Lembah Klang beberapa bulan lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, polis turut merampas 1,500 gram ketulan jernih dadah syabu dalam tangkapan tersebut.
"Ujian awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah methamphetamine.
"Kesemua suspek direman tujuh hari sejak 11 Jun lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Chez Chiang memberitahu, seramai 14 warga Afrika ditahan sejak awal tahun ini dengan rampasan membabitkan 14 kilogram syabu dan tiga kilogram heroin di sekitar ibu negara.
Katanya, siasatan mendapati bekalan dadah dibawa masuk dari luar negara sebelum diedar ke pasaran tempatan.
"Kebanyakan ahli sindiket masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar dan mengikuti program-program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
"Tahun lalu, banyak tangkapan dan rampasan ganja membabitkan warga Afrika dari Kenya, Utopia, Afrika Selatan dan Afrika Barat.
"Pelajar Afrika itu dikesan terlibat dengan pengedaran dadah, kegiatan penggubahan wang haram, penipuan dan aktiviti penyeludupan manusia yang dilihat cara mudah untuk memperoleh wang segera," katanya lagi.
Katanya, pihak polis memandang serius kegiatan jenayah warga Afrika dan sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment