Search This Blog

Tuesday, June 14, 2011

11 pelajar Nigeria ditahan tipu wanita Perancis

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kelicikan 11 pelajar warga Nigeria menggunakan ayat-ayat cinta bukan sahaja memperdaya seorang wanita warga Perancis untuk bercinta di alam siber selama enam tahun, malah turut mendorong mangsa datang ke negara ini.
Awal bulan lalu, mangsa berusia 52 tahun datang menjejaki 'kekasih sibernya', seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menetap di negara ini sejak enam tahun lalu kerana kononnya dia mengalami kemalangan dan memerlukan pembedahan segera.
Mangsa dihubungi oleh dua suspek dikenali sebagai Dr. Jerry dan Dr. Abby yang memaklumkan teman lelakinya itu perlu menjalani pembedahan dengan kos sebanyak 200,000 Euro (RM872,147).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mangsa yang percaya dengan 'cerita' itu telah memasukkan wang pendahuluan 1,000 Euro (RM4,357) sebelum ke negara ini untuk melawat 'teman lelakinya'.
"Hasrat mangsa untuk melihat keadaan teman lelakinya itu bagaimanapun ditolak malah diugut supaya menjelaskan baki 'wang pembedahan' sebelum teman lelakinya itu dibebaskan dari hospital.
"Mangsa yang dinasihatkan pihak kedutaannya telah membuat laporan polis sehingga membolehkan kesemua suspek diberkas pada 6 Jun dan 7 Jun lalu hasil siasatan dan perangkap yang dipasang.
"Hasil siasatan mendapati teman lelaki mangsa tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata sejak enam tahun lalu," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Chin Wah berkata, kesemua suspek menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini dan dipercayai wanita tersebut bukan mangsa pertama yang ditipu.
Katanya, perancangan rapi dibuat dengan modus operandi menggunakan laman sosial Internet untuk menjalin persahabatan sebelum memupuk kepercayaan dan keyakinan mangsa.
"Sindiket warga Nigeria tersebut menyasarkan mangsa yang mempunyai kewangan kukuh dan terdesak untuk mendapat pasangan hidup.
"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Jun ini mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan kesalahan Akta Imigresen," katanya lagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment