Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Waspada pihak tipu kutip derma pondok



KOTA BHARU - Pihak Pondok Daril Naim memberi peringatan kepada masyarakat negeri ini supaya berwaspada dengan pengutip derma yang mungkin akan menggunakan nama pondok itu yang pernah terbakar, 17 April lalu.

Pengerusi Pondok Daril Naim, Mohd Aziz Che Man berkata, beberapa hari selepas kejadian kebakaran, ada satu pihak yang datang ke pondok dengan meminta salinan laporan polis mengenai kebakaran.

“Apabila ditanya, orang berkenaan merahsiakannya dan memberitahu salinan berkenaan diperlukan bagi memberi bantuan apabila mendengar khabar pondok terbakar.

“Kerani di sini ada memberikan salinan laporan berkenaan, namun sehingga kini kami mengesyaki usaha itu mungkin akan digunakan untuk mengutip derma bagi meraih simpati orang ramai,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, sebelum ini, sudah dua kali pihaknya pernah mendengar aduan ada pihak menggunakan nama pondok untuk mengutip derma bagi pembinaan pondok dan asrama.

Menurutnya, pihak pondok tidak pernah melantik mana-mana wakil, individu atau agensi bagi mengutip derma untuk membantu mangsa kebakaran.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan yang boleh dihantar saluran ke pejabat Pondok Daril Naim melalui akaun bank pada nombor akaun 03018010053278 atas nama Tetuan Madrasah Daril Naim (Pondok).

Katanya, setakat ini, pihaknya menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh melalui Tabung Serambi Mekah dan tabung kebajikan lain.

No comments:

Post a Comment