Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Warga emas maut



KOTA BHARU - Seorang anak longlai apabila melihat mayat ibunya sendiri terbujur di tepi jalan dekat Kampung Kijang kerana pada awalnya disangkakan longgokan sampah yang ditinggalkan penduduk.

Dalam kejadian jam 9.50 malam kelmarin, Mek Yam Hassan, 56, maut di tempat kejadian selepas proton Wira dari arah Kota Bharu menghala ke Pantai Cahaya Bulan merempuh mangsa ketika berjalan kaki melintas jalan untuk membeli di kedai runcit terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Mek Yah Mat, 42, ketika ditemui di rumahnya, semalam, berkata, ketika kejadian dia terdengar dentuman depan rumahnya dan terus menjenguk dari tingkat dua rumahnya.

“Pada mulanya saya ternampak ada kereta berada di tepi jalan dan melihat terdapat satu longgokan, saya mengabaikannya kerana pada awalnya saya menyangka ia timbunan sampah.

“Bagaimanapun, saya terkejut kerana seorang jiran menjerit memberitahu ibu sudah mati dilanggar sebuah kereta dan longgokan itu rupa-rupanya mayat ibu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mek Yah berkata, sejurus mengetahui insiden itu dia bergegas ke rumah ibunya untuk memaklumkan kepada ayah tirinya, Mohd Sabri Sulaiman, 50, kemalangan yang menimpa isterinya itu.

Mek Yah juga anak sulung kepada mangsa berkata, sehari sebelum kejadian ibunya beria-ia meninggalkan pesan kepada neneknya, Bidah Semail, 80, supaya membahagikan tanah secara sama rata antara tiga beradik arwah.

“Saya tidak menduga itu amanat terakhirnya kepada kami, walaupun sejak seminggu lalu ibu nampak sangat letih dan berubah menjadi pendiam, tetapi kami tidak menyangka itu petanda akan kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.

Kemalangan yang meragut nyawa ibu kepada 10 anak itu sangat dirasakan suaminya, Mohd Sabri kerana sebelum ini arwah sangat rapat dan sentiasa menemaninya ketika bertugas mengawal keselamatan di sekitar Pasar Siti Khadijah.

“Saya reda dengan ujian Ilahi ini , saya perasan sejak seminggu dia letih dan saya menyuruhnya berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut membuat laporan di balai polis berhampiran.

Difahamkan pemandu kereta terbabit sudah menekan brek kenderaannya, tetapi gagal mengawalnya lalu merempuh mangsa.

Jenazah terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasok, berhampiran rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment