Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Wanita rugi RM11,000 ditipu sindiket cabutan bertuah


SEGAMAT: Keterujaan seorang suri rumah menerima khabar terpilih memenangi wang tunai 380,000 Dolar Hong Kong menerusi cabutan bertuah sebuah stesen televisyen berbayar, berakhir dengan menjadi mangsa penipuan apabila kerugian lebih RM11,000. 


Kejadian bermula pada 13 April lalu, apabila mangsa Chai Mui Fong, 34, dari Taman Koh Cheng San, Kampung Tengah di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan beliau mengenai satu cabutan bertuah akan dilakukan oleh stesen berbayar itu pada 16 April.
Sumber berkata, mangsa tidak menyangka apa-apa sehingga menerima panggilan telefon daripada seorang lagi wanita kira-kira jam 3 petang pada 22 April lalu.
“Menerusi panggilan telefon terbabit, mangsa diberitahu wanita yang menghubunginya itu yang beliau sudah memenangi cabutan hadiah wang tunai berjumlah 300,000 Dolar Hong Kong. 

“Namun, mangsa diletakkan syarat supaya membayar RM11,735 sebelum boleh menuntut hadiah berkenaan. Teruja dengan jumlah wang tunai besar dimenanginya, mangsa kemudian memasukkan RM6,885 ke dalam sebuah akuan seperti diarahkan pada 25 April lalu. 

“Keesokannya, mangsa memasukkan lagi RM5,350 ke dalam akuan sama di sebuah bank dekat Jalan Genuang di sini. Bagaimanapun, selepas mangsa memasukkan wang tunai itu dalam akaun yang diberikan itu, wanita yang menghubungi mangsa terus menghilang, " katanya. 

Katanya, keadaan itu menyedarkan mangsa yang beliau sudah tertipu sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat pada 30 April lalu. 
Semakan Berita Harian dengan Telekom Malaysia mendapati tiga nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi mangsa, dikesan dibuat menggunakan nombor telefon bimbit yang didaftarkan di Hong Kong. 

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, mengesahkan kejadian yang menimpa mangsa dan laporan yang dibuat mengenai penipuan itu. 

Abd Majid menasihatkan orang ramai supaya berhati hati terhadap mana-mana individu atau pihak yang mendakwa mewakili syarikat yang tampil mendakwa mereka memenangi hadiah dan meminta wang tunai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

No comments:

Post a Comment